Monday, July 12, 2010

Inspirasi 6 : Pulau Redang

Pulau Redang

PULAU REDANG merupakan pulau terbesar di Terengganu. Terletak 45 km dari Bandaraya Kuala Terengganu, rumpun Pulau Redang mempunyai sembilan pulau lain termasuk Pulau Lima, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Pinang dan Pulau Redang. Rumpunan pulau ini menjanjikan pelbagai aktiviti dan panorama menarik kepada pengunjung seperti 'snorkelling', 'scuba-diving', keindahan Taman Laut yang dipenuhi dengan hidupan marin seperti ikan, penyu dan batu karang.

Pantai Pasir Panjang

Dua pantai yang menjanjikan keindahan memukau di Pulau Redang ialah Pantai Pasir Panjang dan Teluk Dalam Kecil yang terletak di timur laut pulau. Pantai Pasir Panjang juga merupakan kawasan pendaratan penyu untuk bertelur pada musimnya. Terdapat tempat pejagaan penyu yang dibina oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (dulunya UMT) di kawasan ini supaya ekosistem dan habitat penyu ini tidak terancam. Kesedaran timbul berikutan berkurangya penyu yang datang bertelur di pantai ini sejak kebelakangan ini.

Taman Laut Pulau Redang

Taman Laut Redang adalah antara taman laut tercantik di dunia. Menghimpunkan khazanah laut berusia ribuan tahun yang sentiasa dijaga rapi keasliannya daripada tercemar dan terhakis dimamah perubahan iklim dunia. Pengunjung boleh mengalami dan menikmati sendiri keindahannya dengan melakukan aktiviti snorkelling dan diving di sekitar kawasan taman laut. Kecantikan alam ciptaan Tuhan ini boleh merehatkan minda yang kusut dan boleh menjadi terapi diri. Inspirasi keindahan Pulau Redang pernah dijadikan tempat penggambaran filem Hong Kong, Summer Holiday (2000). Jom!


No comments:

Post a Comment