Tuesday, July 20, 2010

Inspirasi 7 : Lapangan Terbang Sultan Mahmud


LAPANGAN TERBANG SULTAN MAHMUD menjadi terminal pengangkutan udara domestik sejak ia dibuka pada tahun 80-an. Pada 2008, pembesaran lapangan terbang dilakukan bagi membolehkan kapal terbang berkapasiti besar seperti Boeing 747 mendarat di sini. Di samping pembaharuan dalam prasarana, Lapangan Terbang Sultan Mahmud juga kini mengendalikan penerbangan antarabangsa untuk jemaah haji ke Mekah.

Boeing 747 melepasi terminal lapangan terbang

Revolusi pembaharuan ini adalah inspirasi bekas Menteri Besar untuk melihat Terengganu tidak ketinggalan dalam pembangunan dan kemudahan awam. Reka bentuk terminal juga membawa imej dan ciri Terengganu yang tidak lapuk dek zaman. Kini, lapangan terbang ini mengendalikan lebih 500, 000 penumpang setahun dan kian meningkat, membuktikan Terengganu mampu mencipta tamadunnya sendiri.

Seni bina bumbung bercirikan Terengganu

Kronologi pengubahsuaian Lapangan Terbang Sultan Mahmud

Kerja-kerja merobohkan terminal lama





Kerja-kerja pembinaan terminal baru





Lapangan terbang siap diubahsuai dan mula digunakan

Sumber gambar di sini. Terima kasih.

Friday, July 16, 2010

Legasi 6 : Penyu Rantau Abang


PENYU menjadi ikon negeri Terengganu. Datangnya mendarat di Pantai Rantau Abang, Dungun untuk bertelur sejak puluhan tahun lalu. Sekitar tahun 70-an dan 80-an adalah kemuncaknya. Hari ini penyu berkurangan akibat faktor alam sekitar dan manusia sendiri. 

Batu penyu di puncak bukit

Kisah kehadiran penyu ke Rantau Abang dikatakan adanya 'ibu penyu' di atas bukit berhampiran. Manakala penyu jantan berada di dalam lubuk atau sungai berdekatan bukit tersebut. 'Ibu penyu' adalah serpihan batu 3.5 meter yang menyerupai seekor penyu di puncak bukit Rantau Abang.

Serpihan batu membentuk penyu

Cerita Batu Penyu di sini

Monday, July 12, 2010

Inspirasi 6 : Pulau Redang

Pulau Redang

PULAU REDANG merupakan pulau terbesar di Terengganu. Terletak 45 km dari Bandaraya Kuala Terengganu, rumpun Pulau Redang mempunyai sembilan pulau lain termasuk Pulau Lima, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Pinang dan Pulau Redang. Rumpunan pulau ini menjanjikan pelbagai aktiviti dan panorama menarik kepada pengunjung seperti 'snorkelling', 'scuba-diving', keindahan Taman Laut yang dipenuhi dengan hidupan marin seperti ikan, penyu dan batu karang.

Pantai Pasir Panjang

Dua pantai yang menjanjikan keindahan memukau di Pulau Redang ialah Pantai Pasir Panjang dan Teluk Dalam Kecil yang terletak di timur laut pulau. Pantai Pasir Panjang juga merupakan kawasan pendaratan penyu untuk bertelur pada musimnya. Terdapat tempat pejagaan penyu yang dibina oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (dulunya UMT) di kawasan ini supaya ekosistem dan habitat penyu ini tidak terancam. Kesedaran timbul berikutan berkurangya penyu yang datang bertelur di pantai ini sejak kebelakangan ini.

Taman Laut Pulau Redang

Taman Laut Redang adalah antara taman laut tercantik di dunia. Menghimpunkan khazanah laut berusia ribuan tahun yang sentiasa dijaga rapi keasliannya daripada tercemar dan terhakis dimamah perubahan iklim dunia. Pengunjung boleh mengalami dan menikmati sendiri keindahannya dengan melakukan aktiviti snorkelling dan diving di sekitar kawasan taman laut. Kecantikan alam ciptaan Tuhan ini boleh merehatkan minda yang kusut dan boleh menjadi terapi diri. Inspirasi keindahan Pulau Redang pernah dijadikan tempat penggambaran filem Hong Kong, Summer Holiday (2000). Jom!


Thursday, June 24, 2010

Legasi 5 : Keropok Lekor

Keropok Lekor goreng yang rangup

KEROPOK LEKOR sememangnya sinonim dengan negeri Pantai Timur ini. Tiada mana-mana tempat di dunia yang boleh menandingi keropok lekor Terengganu. Makanan yang boleh dikira 'snack' ini menjadi kegemaran warga Terengganu tanpa mengira pangkat, darjat, taraf, kedudukan, pekerjaan, status dan rupa. Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan yang dicanai dan digelekkan bersama tepung sagu sebelum direbus atau digoreng. Legasi ini adalah turun temurun dan melalui zaman yang cukup mencabar apabila munculnya francais KFC dan McDonald's dimana-mana ceruk dunia. Walaupun promosinya tidak segah Meggi, namun ia masih boleh 'survive' di pasaran tempatan kerana ia adalah Made In Terengganu. Belilah barangan buatan Malaysia. 

Keropok lekor rebus yang sedia dimakan atau digoreng

Keropok lekor boleh didapati di mana-mana tempat di negeri ini. Pasarannya di tepi jalan, di warung dan di kedai keropok semestinya. Antara tempat penghasilan keropok lekor yang sedap dan berbaloi untuk dimakan ialah di Seberang Takir. Kampung nelayan ini sememangnya banyak menghasilkan keropok lekor. Ratingnya mungkin tertinggi berbanding tempat lain. Bau udara di kampung ini juga sudah membawa isyaratnya. Itulah hebatnya penangan keropok lekor. Antara tempat lain seperti Losong, Marang (tepi jalan), dan juga di Pasar Kedai Payang. Cubalah sekarang!

Keropok lekor dihidang menarik

Inspirasi 5 : Bot Penambang

Deretan bot penambang di Jeti Seberang Takir

BOT PENAMBANG Seberang Takir merupakan pengangkutan air yang sangat penting kepada penduduk kampung tersebut dalam menjalankan aktiviti harian dan ekonomi mereka. Sistem pengangkutan awam ini tidaklah secekap atau sesistematik RapidKL, namun tetap ada koperasinya yang menjaga penyelengaraan dan kebajikan bot-bot ini. Bot penambang ini merupakan alternatif kepada peduduk dari kawasan Kuala Terengganu Utara untuk ke Pusat Bandar di Selatan yang dihubungkan dengan Jambatan Sultan Mahmud. Masih ramai yang menggunakan pengangkutan awam ini kerana ia lebih menjimatkan, cepat dan yang paling penting mengekalkan warisan yang ada. 

Bot penambang yang sedang memecut laju ke Jeti Bandar

Inspirasi memulakan perkhidmatan bot penambang ini semestinya kerana Sungai Terengganu yang memisahkan bahagian Utara dan Selatan Kuala Terengganu. Tidak dapat dipastikan sejarah bermulanya perkhidmatan ini, tetapi dipercayai pada mulanya hanyalah bot-bot atau perahu nelayan yang menumpangkan orang ramai untuk ke Bandar. Setelah sekian lama, inspirasi tercetus untuk menjadikan ia sebagai kemudahan pengangkutan kepada orang ramai. Tidak dinafikan, ramai yang tidak pernah mencuba atau tidak tahu kewujudan bot penambang ini - waima rakyat Terengganu sendiri - kerana publisiti dan strategi pemasarannya tidak sehebat Air Asia X. Oleh itu, cubalah sendiri.

Kadar harga perkhidmatan : 'Mahal' tapi berbaloi

Khidmat biasa untuk ke Bandar 
  • Dewasa (RM 1.00)
  • Kanak-kanak (RM 0.80)
Mengelilingi Sungai Terengganu
  • RM 25.00
Bot penambang berlatarkan Restoran Puteri

Legasi 4 : Ulik Mayang

Persembahan tarian Ulik Mayang

ULIK MAYANG adalah tarian tradisional Terengganu yang mempunyai unsur-unsur pemujaan semangat pantai. Tarian ini ditarikan oleh 10 hingga 15 penari sebagai persembahan kepada penunggu laut supaya tidak menggangu nelayan yang mencari rezeki di tengah lautan. Mengikut cacatan sejarah, Ulik Mayang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati orang yang terkena sampuk. Tujuh puteri tersebut berasal dari bukit puteri dan sentiasa menjadi tumpuan orang tempatan untuk meminta bantuan, iaitu mengubati orang sakit melalui jampi, seru, dan mentera. 

Tarian Ulik Mayang juga digunakan dalam pengubatan tradisional. Ia menjadi identiti masyarakat Terengganu kerana tarian ini menjadi amalan masyarakat melayu di Terengganu sejak beratus-ratus tahun dahulu. Sebelum tarian dimulakan, mayang pinang akan dipuja serta digoncang-goncang diatas bekas kemenyan. Mayang pinang tadi kemudiannya berpindah tangan dari seorang ke seorang sehinggalah penari yang memegang mayang tersebut tidak sedarkan diri.  

Tujuh Puteri dari kayangan menari untuk mengubati pesakit

Lirik Lagu Ulik Mayang

Ulek Mayang 
Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat

Puteri empat berbaju serong
Puteri empat bersanggol sendeng
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya enam

Puteri enam berbaju serong
Puteri enam bersanggol sendeng
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh

Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggol sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Tuan puteri berbaju serong
Tuan puteri bersanggol sendeng
Tuan puteri bersubang gading
Tuan puteri berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala

Legasi ini menjadi identiti tarian rakyat Terengganu. Inspirasi juga mula tercetus daripada legasi seni yang sekian lama dipraktikkan ini. Hasilnya, muzik lagu Ulik Mayang diolah dan digubah menjadi muzik orkestra yang harmoni dan mempunyai nilai muzik yang begitu tinggi. Keasliannya dikekalkan dan persembahannya diperhebatkan melalui seni muzik. 
Klip ini adalah persembahan orkestra pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu pada Pertandingan Wind Orkestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada 2005. Saya salah seorang pemainnya. 

Wednesday, June 23, 2010

Legasi 3 : Tembaga

Tembaga sebelum ditempa

TEMBAGA adalah unsur kimia atau logam yang diguna secara meluas sebagai pengalir elektrik, bahan binaan dan sesetengah juzuk aloi. Namun di Terengganu, tembaga diukir dan dibentuk menjadi arca, barangan dan alat perhiasan. Seni kemahiran ukiran tembaga menjadi warisan turun temurun dari satu generasi ke satu generasi hingga kini. Penghasilan barangan tembaga  seperti perhiasan dan barangan adalah 90% kerja tangan yang memerlukan kemahiran dan kesabaran.

Tepak sirih daripada tembaga

Ukiran tembaga dikatakan berasal dari China, dibawa oleh seorang tukang yang datang berhijrah ke Tanah Melayu suatu masa dahulu. Tembaga Terengganu adalah campuran tembaga putih, kuning dan zink. Antara barangan yang dihasilkan daripada tembaga adalah tepak sirih, pemegang lilin, bekas habuk rokok dan cenderamata seperti rantai kunci, pasu, keris dan lain-lain. Hari ini, ukiran tembaga mempunyai nilai warisan dan estetika yang sangat tinggi dan patut dipelihara kehalusan seninya. Hidup tembaga.
Legasi Melayu takkan hilang di dunia

Legasi 2 : Batik & Songket

Corak batik Terengganu
BATIK mula memasuki Malaysia pada abad ke-19 daripada pendatang dan pedagang Indonesia. Di Malaysia, batik popular di negeri-negeri pantai timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang. Corak batik yang kebanyakannya bermotifkan tumbuhan seperti bunga dan daun dipakai semua golongan dan lapisan masyarakat. Batik juga merupakan pakaian kebangsaan Malaysia. Kain batik atau sarung dipakai secara harian oleh wanita-wanita Melayu, manakala batik sutera dijadikan baju rasmi bagi lelaki dan wanita yang boleh digayakan mengikut citarasa dan kesesuaian.

Batik pelbagai corak dan warna

Seribu satu pilihan mengikut kehendak hati

Batik sarung yang boleh dipakai harian

Penghasilan batik secara tradisional

SONGKET juga antara pakaian Melayu yang tinggi nilai warisannya. Kain yang ditenun tangan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak. Mengikut sejarah, songket dipakai golongan atasan seperti kerabat diraja atau bangsawan. Ia mula terkenal di rumpun Melayu Indonesia sejak abad ke-13 lagi. Coraknya bermotifkan tumbuhan, alam, haiwan dan kuih. Kini, songket mampu untuk dimiliki oleh sesiapa sahaja dan boleh dipakai mengikut kesesuaian seperti majlis rasmi, hari raya dan sebagainya. Belilah songket Terengganu.

Pelbagai warna dan corak songket 

David Archuleta mencuba sampin songket

Tuesday, June 22, 2010

Legasi 1 : Pulau Duyong

Peta lokasi Pulau Duyong, Kuala Terengganu

PULAU DUYONG antara tempat warisan yang kian popular hari ini. Wujudnya di tengah daerah Kuala Terengganu, memisahkan bahagian utara dan selatan daerah ibu negeri itu. Pulau yang terletak di muara Sungai Terengganu ini terbahagi kepada Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil, dan kaya dengan warisan sejarah yang tinggi nilainya. 

Pandangan belakang Kota Lama

Kota Lama Duyong antara bahan sejarah yang kekal hingga hari ini. Dibina pada tahun 1920, kota ini pada awalnya digunakan untuk kumpulan-kumpulan agama dan untuk mengajar anak-anak Muslim untuk membaca Quran. Dipercayai bahawa bahan yang digunakan untuk membinanya termasuk madu, putih telur dan batu. Setelah musnah akibat banjir pada tahun 1986, ia dibaikpulih pada tahun 1999 tanpa perubahan struktural.

Bangunan bersejarah ini terletak di Pulau Duyong Kecil. Kota Lama Duyong merupakan keajaiban senibina Terengganu pada tahun 1920-an. Ini dibina oleh seorang pegawai senior di Pentadbiran Negara Terengganu, Dato' Biji Sura. Sementara kebanyakan rumah diperbuat dari kayu, Kota Lama Duyong dibina dengan batu bata dan kayu. Rumah ini dikelilingi oleh benteng dan dengan demikian namanya sebagai Kota Lama atau Old Fort. Pada awalnya ia dicat warna biru dan kuning.

Bangunan ini baru-baru ini dipulihkan oleh muzium negara, dengan rahmat dari pemilik ketika ini, para cucu besar besar terkenal Tok Sheikh Duyong, sarjana Islam tempatan dan guru. 


Kota Lama Duyong

Laluan koridor Kota Lama

Legasi Pulau Duyong tidak berhenti di situ sahaja. Pengusahaan kapal atau bot di pulau ini sememangnya terkenal di serata dunia dan diwarisi turun temurun. Encik Abdullah, pengusaha bot dan kapal layar ini mula menjual hasil tangannya ke luar negara sejak 1965 lagi. Negara yang membeli termasuklah Singapura, Kanada, Algeria, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Itali, New Zealand, United Kingdom, Denmark dan banyak lagi negara lain. Penghasilannya adalah berdasarkan rekaan dan imaginasi Abdullah sendiri yang diwarisi daripada bapanya.


Pekerja sedang menyiapkan kapal

Made In Pulau Duyong

 Aktiviti 'Putrajaya Cruise'

Tidak lengkap dengan itu, lokasi Pulau Duyong di muara sungai dan menghadap Laut China Selatan beserta Terengganu yang menerima angin monsun Timur Laut pada musim tengkujuh mencetuskan idea untuk penganjuran Piala Monsun pertama di Malaysia dan Asia. Monsoon Cup menghimpunkan pelayar-pelayar dari seluruh dunia untuk berentap melengkapkan beberapa disiplin pertandingan kapal layar pada musim angin monsun yang menghembus kuat. Penganjuran di Terengganu masuk kali ke-5 pada Disember 2009 lalu, bermula 2005.

Logo rasmi Monsoon Cup Terengganu

Pasukan yang berentap

Tapak penganjuran Monsoon Cup, Pulau Duyong

Ketika pertandingan 

Monday, June 21, 2010

Inspirasi 4 : Batu Bersurat


BATU BERSURAT Terengganu yang ditemui di Kuala Berang pada 1899 bertarikh 1303 Masihi bersamaan 702 Hijrah menjadi bukti Terengganu adalah negeri terawal di Tanah Melayu yang menerima ajaran Islam iaitu sebelum 1326 atau 1386. Batu yang dipenuhi dengan tulisan jawi ini adalah mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Batu bersurat ini pernah diletakkan di puncak Bukit Puteri ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Hari ini, ia ditempatkan di Muzium Terengganu selepas dipindahkan dari Muzium Raffles Singapura dan Muzium Negara pada 1991.


Kombinasi pandangan setiap muka batu

Inspirasi dari Batu Bersurat inilah menjadikan Terengganu sebuah negeri yang mengamalkan ajaran Islam dan masih mengekalkan gaya hidup Islam hingga kini. Nama Terengganu Darul Iman adalah bertepatan dengan konsep Islam syumul yang diamalkan di Terengganu. Pada saya, warga Terengganu bertuah kerana dipelihara oleh Allah S.W.T. agar sentiasa aman dan makmur menjalani kehidupan harian. Pimpinan kerajaan negeri juga amat mementingkan cara hidup Islam dengan pelbagai perubahan dilakukan seperti Islam Hadhari, pembentukan generasi ulul albab dan amalan hafalan Quran diperingkat kanak-kanak. Tahniah Terengganu.

Lambang keislaman Terengganu

ALLAH Peliharakanlah Terengganu

Replika Batu Bersurat di Bulatan Ladang, Kuala Terengganu

Masjid Tengku Tengah Zaharah

Masjid Kristal