Thursday, June 24, 2010

Legasi 5 : Keropok Lekor

Keropok Lekor goreng yang rangup

KEROPOK LEKOR sememangnya sinonim dengan negeri Pantai Timur ini. Tiada mana-mana tempat di dunia yang boleh menandingi keropok lekor Terengganu. Makanan yang boleh dikira 'snack' ini menjadi kegemaran warga Terengganu tanpa mengira pangkat, darjat, taraf, kedudukan, pekerjaan, status dan rupa. Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan yang dicanai dan digelekkan bersama tepung sagu sebelum direbus atau digoreng. Legasi ini adalah turun temurun dan melalui zaman yang cukup mencabar apabila munculnya francais KFC dan McDonald's dimana-mana ceruk dunia. Walaupun promosinya tidak segah Meggi, namun ia masih boleh 'survive' di pasaran tempatan kerana ia adalah Made In Terengganu. Belilah barangan buatan Malaysia. 

Keropok lekor rebus yang sedia dimakan atau digoreng

Keropok lekor boleh didapati di mana-mana tempat di negeri ini. Pasarannya di tepi jalan, di warung dan di kedai keropok semestinya. Antara tempat penghasilan keropok lekor yang sedap dan berbaloi untuk dimakan ialah di Seberang Takir. Kampung nelayan ini sememangnya banyak menghasilkan keropok lekor. Ratingnya mungkin tertinggi berbanding tempat lain. Bau udara di kampung ini juga sudah membawa isyaratnya. Itulah hebatnya penangan keropok lekor. Antara tempat lain seperti Losong, Marang (tepi jalan), dan juga di Pasar Kedai Payang. Cubalah sekarang!

Keropok lekor dihidang menarik

Inspirasi 5 : Bot Penambang

Deretan bot penambang di Jeti Seberang Takir

BOT PENAMBANG Seberang Takir merupakan pengangkutan air yang sangat penting kepada penduduk kampung tersebut dalam menjalankan aktiviti harian dan ekonomi mereka. Sistem pengangkutan awam ini tidaklah secekap atau sesistematik RapidKL, namun tetap ada koperasinya yang menjaga penyelengaraan dan kebajikan bot-bot ini. Bot penambang ini merupakan alternatif kepada peduduk dari kawasan Kuala Terengganu Utara untuk ke Pusat Bandar di Selatan yang dihubungkan dengan Jambatan Sultan Mahmud. Masih ramai yang menggunakan pengangkutan awam ini kerana ia lebih menjimatkan, cepat dan yang paling penting mengekalkan warisan yang ada. 

Bot penambang yang sedang memecut laju ke Jeti Bandar

Inspirasi memulakan perkhidmatan bot penambang ini semestinya kerana Sungai Terengganu yang memisahkan bahagian Utara dan Selatan Kuala Terengganu. Tidak dapat dipastikan sejarah bermulanya perkhidmatan ini, tetapi dipercayai pada mulanya hanyalah bot-bot atau perahu nelayan yang menumpangkan orang ramai untuk ke Bandar. Setelah sekian lama, inspirasi tercetus untuk menjadikan ia sebagai kemudahan pengangkutan kepada orang ramai. Tidak dinafikan, ramai yang tidak pernah mencuba atau tidak tahu kewujudan bot penambang ini - waima rakyat Terengganu sendiri - kerana publisiti dan strategi pemasarannya tidak sehebat Air Asia X. Oleh itu, cubalah sendiri.

Kadar harga perkhidmatan : 'Mahal' tapi berbaloi

Khidmat biasa untuk ke Bandar 
  • Dewasa (RM 1.00)
  • Kanak-kanak (RM 0.80)
Mengelilingi Sungai Terengganu
  • RM 25.00
Bot penambang berlatarkan Restoran Puteri

Legasi 4 : Ulik Mayang

Persembahan tarian Ulik Mayang

ULIK MAYANG adalah tarian tradisional Terengganu yang mempunyai unsur-unsur pemujaan semangat pantai. Tarian ini ditarikan oleh 10 hingga 15 penari sebagai persembahan kepada penunggu laut supaya tidak menggangu nelayan yang mencari rezeki di tengah lautan. Mengikut cacatan sejarah, Ulik Mayang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati orang yang terkena sampuk. Tujuh puteri tersebut berasal dari bukit puteri dan sentiasa menjadi tumpuan orang tempatan untuk meminta bantuan, iaitu mengubati orang sakit melalui jampi, seru, dan mentera. 

Tarian Ulik Mayang juga digunakan dalam pengubatan tradisional. Ia menjadi identiti masyarakat Terengganu kerana tarian ini menjadi amalan masyarakat melayu di Terengganu sejak beratus-ratus tahun dahulu. Sebelum tarian dimulakan, mayang pinang akan dipuja serta digoncang-goncang diatas bekas kemenyan. Mayang pinang tadi kemudiannya berpindah tangan dari seorang ke seorang sehinggalah penari yang memegang mayang tersebut tidak sedarkan diri.  

Tujuh Puteri dari kayangan menari untuk mengubati pesakit

Lirik Lagu Ulik Mayang

Ulek Mayang 
Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat

Puteri empat berbaju serong
Puteri empat bersanggol sendeng
Puteri empat bersubang gading
Puteri empat berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya enam

Puteri enam berbaju serong
Puteri enam bersanggol sendeng
Puteri enam bersubang gading
Puteri enam berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya tujuh

Puteri tujuh berbaju serong
Puteri tujuh bersanggol sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Tuan puteri berbaju serong
Tuan puteri bersanggol sendeng
Tuan puteri bersubang gading
Tuan puteri berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuannya puteri

Ku tahu asal usul mu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan
Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala

Legasi ini menjadi identiti tarian rakyat Terengganu. Inspirasi juga mula tercetus daripada legasi seni yang sekian lama dipraktikkan ini. Hasilnya, muzik lagu Ulik Mayang diolah dan digubah menjadi muzik orkestra yang harmoni dan mempunyai nilai muzik yang begitu tinggi. Keasliannya dikekalkan dan persembahannya diperhebatkan melalui seni muzik. 
Klip ini adalah persembahan orkestra pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu pada Pertandingan Wind Orkestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada 2005. Saya salah seorang pemainnya. 

Wednesday, June 23, 2010

Legasi 3 : Tembaga

Tembaga sebelum ditempa

TEMBAGA adalah unsur kimia atau logam yang diguna secara meluas sebagai pengalir elektrik, bahan binaan dan sesetengah juzuk aloi. Namun di Terengganu, tembaga diukir dan dibentuk menjadi arca, barangan dan alat perhiasan. Seni kemahiran ukiran tembaga menjadi warisan turun temurun dari satu generasi ke satu generasi hingga kini. Penghasilan barangan tembaga  seperti perhiasan dan barangan adalah 90% kerja tangan yang memerlukan kemahiran dan kesabaran.

Tepak sirih daripada tembaga

Ukiran tembaga dikatakan berasal dari China, dibawa oleh seorang tukang yang datang berhijrah ke Tanah Melayu suatu masa dahulu. Tembaga Terengganu adalah campuran tembaga putih, kuning dan zink. Antara barangan yang dihasilkan daripada tembaga adalah tepak sirih, pemegang lilin, bekas habuk rokok dan cenderamata seperti rantai kunci, pasu, keris dan lain-lain. Hari ini, ukiran tembaga mempunyai nilai warisan dan estetika yang sangat tinggi dan patut dipelihara kehalusan seninya. Hidup tembaga.
Legasi Melayu takkan hilang di dunia

Legasi 2 : Batik & Songket

Corak batik Terengganu
BATIK mula memasuki Malaysia pada abad ke-19 daripada pendatang dan pedagang Indonesia. Di Malaysia, batik popular di negeri-negeri pantai timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang. Corak batik yang kebanyakannya bermotifkan tumbuhan seperti bunga dan daun dipakai semua golongan dan lapisan masyarakat. Batik juga merupakan pakaian kebangsaan Malaysia. Kain batik atau sarung dipakai secara harian oleh wanita-wanita Melayu, manakala batik sutera dijadikan baju rasmi bagi lelaki dan wanita yang boleh digayakan mengikut citarasa dan kesesuaian.

Batik pelbagai corak dan warna

Seribu satu pilihan mengikut kehendak hati

Batik sarung yang boleh dipakai harian

Penghasilan batik secara tradisional

SONGKET juga antara pakaian Melayu yang tinggi nilai warisannya. Kain yang ditenun tangan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak. Mengikut sejarah, songket dipakai golongan atasan seperti kerabat diraja atau bangsawan. Ia mula terkenal di rumpun Melayu Indonesia sejak abad ke-13 lagi. Coraknya bermotifkan tumbuhan, alam, haiwan dan kuih. Kini, songket mampu untuk dimiliki oleh sesiapa sahaja dan boleh dipakai mengikut kesesuaian seperti majlis rasmi, hari raya dan sebagainya. Belilah songket Terengganu.

Pelbagai warna dan corak songket 

David Archuleta mencuba sampin songket

Tuesday, June 22, 2010

Legasi 1 : Pulau Duyong

Peta lokasi Pulau Duyong, Kuala Terengganu

PULAU DUYONG antara tempat warisan yang kian popular hari ini. Wujudnya di tengah daerah Kuala Terengganu, memisahkan bahagian utara dan selatan daerah ibu negeri itu. Pulau yang terletak di muara Sungai Terengganu ini terbahagi kepada Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil, dan kaya dengan warisan sejarah yang tinggi nilainya. 

Pandangan belakang Kota Lama

Kota Lama Duyong antara bahan sejarah yang kekal hingga hari ini. Dibina pada tahun 1920, kota ini pada awalnya digunakan untuk kumpulan-kumpulan agama dan untuk mengajar anak-anak Muslim untuk membaca Quran. Dipercayai bahawa bahan yang digunakan untuk membinanya termasuk madu, putih telur dan batu. Setelah musnah akibat banjir pada tahun 1986, ia dibaikpulih pada tahun 1999 tanpa perubahan struktural.

Bangunan bersejarah ini terletak di Pulau Duyong Kecil. Kota Lama Duyong merupakan keajaiban senibina Terengganu pada tahun 1920-an. Ini dibina oleh seorang pegawai senior di Pentadbiran Negara Terengganu, Dato' Biji Sura. Sementara kebanyakan rumah diperbuat dari kayu, Kota Lama Duyong dibina dengan batu bata dan kayu. Rumah ini dikelilingi oleh benteng dan dengan demikian namanya sebagai Kota Lama atau Old Fort. Pada awalnya ia dicat warna biru dan kuning.

Bangunan ini baru-baru ini dipulihkan oleh muzium negara, dengan rahmat dari pemilik ketika ini, para cucu besar besar terkenal Tok Sheikh Duyong, sarjana Islam tempatan dan guru. 


Kota Lama Duyong

Laluan koridor Kota Lama

Legasi Pulau Duyong tidak berhenti di situ sahaja. Pengusahaan kapal atau bot di pulau ini sememangnya terkenal di serata dunia dan diwarisi turun temurun. Encik Abdullah, pengusaha bot dan kapal layar ini mula menjual hasil tangannya ke luar negara sejak 1965 lagi. Negara yang membeli termasuklah Singapura, Kanada, Algeria, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Itali, New Zealand, United Kingdom, Denmark dan banyak lagi negara lain. Penghasilannya adalah berdasarkan rekaan dan imaginasi Abdullah sendiri yang diwarisi daripada bapanya.


Pekerja sedang menyiapkan kapal

Made In Pulau Duyong

 Aktiviti 'Putrajaya Cruise'

Tidak lengkap dengan itu, lokasi Pulau Duyong di muara sungai dan menghadap Laut China Selatan beserta Terengganu yang menerima angin monsun Timur Laut pada musim tengkujuh mencetuskan idea untuk penganjuran Piala Monsun pertama di Malaysia dan Asia. Monsoon Cup menghimpunkan pelayar-pelayar dari seluruh dunia untuk berentap melengkapkan beberapa disiplin pertandingan kapal layar pada musim angin monsun yang menghembus kuat. Penganjuran di Terengganu masuk kali ke-5 pada Disember 2009 lalu, bermula 2005.

Logo rasmi Monsoon Cup Terengganu

Pasukan yang berentap

Tapak penganjuran Monsoon Cup, Pulau Duyong

Ketika pertandingan 

Monday, June 21, 2010

Inspirasi 4 : Batu Bersurat


BATU BERSURAT Terengganu yang ditemui di Kuala Berang pada 1899 bertarikh 1303 Masihi bersamaan 702 Hijrah menjadi bukti Terengganu adalah negeri terawal di Tanah Melayu yang menerima ajaran Islam iaitu sebelum 1326 atau 1386. Batu yang dipenuhi dengan tulisan jawi ini adalah mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Batu bersurat ini pernah diletakkan di puncak Bukit Puteri ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Hari ini, ia ditempatkan di Muzium Terengganu selepas dipindahkan dari Muzium Raffles Singapura dan Muzium Negara pada 1991.


Kombinasi pandangan setiap muka batu

Inspirasi dari Batu Bersurat inilah menjadikan Terengganu sebuah negeri yang mengamalkan ajaran Islam dan masih mengekalkan gaya hidup Islam hingga kini. Nama Terengganu Darul Iman adalah bertepatan dengan konsep Islam syumul yang diamalkan di Terengganu. Pada saya, warga Terengganu bertuah kerana dipelihara oleh Allah S.W.T. agar sentiasa aman dan makmur menjalani kehidupan harian. Pimpinan kerajaan negeri juga amat mementingkan cara hidup Islam dengan pelbagai perubahan dilakukan seperti Islam Hadhari, pembentukan generasi ulul albab dan amalan hafalan Quran diperingkat kanak-kanak. Tahniah Terengganu.

Lambang keislaman Terengganu

ALLAH Peliharakanlah Terengganu

Replika Batu Bersurat di Bulatan Ladang, Kuala Terengganu

Masjid Tengku Tengah Zaharah

Masjid Kristal

Inspirasi 3 : Bukit Puteri



BUKIT PUTERI menyimpan pelbagai kisah dan sejarahnya yang tersendiri. Berdiri megah di tengah Bandaraya Kuala Terengganu, Bukit Puteri pernah berfungsi sebagai penanda arah kepada pelayar dan pedagang; kubu pertahanan negeri Terengganu; tempat bersemayamnya pemerintah terdahulu; tempat persembunyian; dan pelbagai fungsi lain. Bukit setinggi 200 meter dari aras laut ini dikatakan wujud sejak 250 tahun lampau atau sejak abad ke-16 lagi (Sejarah Terengganu). Berkeluasan 0.688 hektar, bukit ini terletak bersebelahan dengan Istana Maziah, istana untuk istiadat diraja seperti sambutan pertabalan dan majlis sambutan keputeraan.

Beberapa versi bagaimana Bukit Puteri mendapat nama, seperti bukit ini suatu ketika dahulu didiami seorang puteri bunian yang lari kerana merajuk dengan sikap penduduk sekitar; tujuh puteri dari kayangan yang menjadi penunggu bukit tersebut; dan berkait rapat dengan tarian 'Ulik Mayang'. Kesahihan mitos ini menjadi tanda tanya hingga kini.

Tidaklah dipanggil tempat bersejarah jika Bukit Puteri tidak mempunyai monumen atau binaan kesan peninggalan sejarah. Antara artifak dan monumen penting termasuklah kubu, genta (loceng besar), meriam, tiang bendera, rumah api, pentas batu, lubang simpanan peluru dan kubur.     

Pintu masuk Kubu


Meriam Beranak


Genta


Tiang Bendera dan Rumah Api


Makam Syed Yasin


 Peta Bukit Puteri

Sunday, June 20, 2010

Inspirasi 2 : Taman Tamadun Islam


TAMAN TAMADUN ISLAM adalah taman tema seumpamanya yang pertama di dunia. TTI menghimpunkan 21 replika monumen agung dalam dunia Islam seperti masjid, makam, kota dan binaan penting dari seluruh pelusuk dunia. Monumen-monumen dari 19 negara ini dibina dengan skala yang lebih kecil berbanding binaan asal dengan nisbah yang berbeza-beza setiap satunya. Berikut senarai replika monumen yang dibina di TTI :
  1. Kota Aleppo, Syria
  2. Masjid Mohammad Ali, Kaherah, Mesir
  3. Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi
  4. Masjid Suleyman, Turki
  5. Masjid Besar Qairawan, Tunisia
  6. Masjid Badshahi, Lahore, Pakistan
  7. Kubah as-Sakhrah, Palestine
  8. Masjid Besar Samarra, Iran
  9. Masjid Lutfallah, Isfahan, Iran
  10. Makam Abu Nasr, Afghanistan
  11. Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi
  12. Masjid Negara, Kuala Lumpur, Malaysia
  13. Masjid Kudus Minar, Jawa Tengah, Indonesia
  14. Majid Pattani, Thailand
  15. Masjid Omar Ali Saifuddin, Brunei Darussalam
  16. Taj Mahal, Agra, India
  17. Alhambra, Granada, Sepanyol
  18. Menara Kalyan, Uzbekistan
  19. Masjid Besar Agadez, Niger
  20. Masjid Kul Syarif, Kazan, Rusia
  21. Masjid Xian, China
Tujuan binaannya, tidak lain tidak bukan adalah untuk memberi informasi dan maklumat kepada penduduk tempatan mengenai monumen penting dalam Islam yang terdapat di seluruh dunia. Mereka tidak perlu ke luar negeri untuk mengalami atau menyaksikan sendiri kehebatan, keagungan dan kehalusan seni bina Islam yang telah wujud ratusan tahun lalu. Selain itu, TTI juga dibina untuk tujuan pelancongan di mana ia menjemput para pengunjung untuk berhibur sambil menimba ilmu pengetahuan tentang Islam. Alaminya sendiri. 



Wednesday, June 16, 2010

Inspirasi 1 : Teluk Ketapang

TELUK KETAPANG dahulunya bukanlah suatu destinasi percutian yang mendapat sambutan hangat di kalangan penduduk tempatan mahupun pengunjung luar. Cukup sekadar kampung nelayan di tepi pantai yang mempunyai pemandangan hening dan populasi yang hidupnya sederhana dari ekonomi dan sosial. 

Hening pagi di Pantai Teluk Ketapang

Teluk Ketapang bertuah kerana terletak dalam daerah Kuala Terengganu yang kini diiktiraf sebagai Bandaraya Kuala Terengganu, bandaraya warisan pesisir air. Tempias pembangunan dan pemodenan bandaraya turut mengenai kampung nelayan ini. Pelbagai pembaikan dan pembangunan difokuskan di kawasan ini kerana dilihat berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Lihat antaranya,

   Kompleks Sukan Kuala Terengganu

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

Stadium Tertutup

Lapangan Terbang Sultan Mahmud

dan


Pantai yang memberi seribu satu inspirasi kepada pengunjungnya








Terokai dan alami sendiri suasana kampung nelayan dan kehidupan masyarakat di Teluk Ketapang dengan menyertai HOMESTAY Teluk Ketapang yang sedia memberi anda seribu satu pengalaman pelancongan. Cubalah sekarang!!!